Pernah tak korang tertanya-tanya kenapa suku Minang dikenali dengan nama Minangkabau?
Jawapannya bermula daripada satu kisah legenda yang sangat terkenal menang kerbau.
Asal usul nama Minangkabau tidak dapat dipisahkan daripada kisah konflik antara Kerajaan Pagaruyung dengan sebuah kerajaan besar dari luar wilayahnya, yang dalam cerita tambo sering disebut sebagai Kerajaan Majapahit.
Pada masa itu, Majapahit dikatakan ingin memperluaskan pengaruhnya ke wilayah Minangkabau. Ancaman peperangan pun tidak dapat dielakkan. Namun, masyarakat Pagaruyung memilih jalan yang lebih bijaksana mereka mahu mengelakkan pertumpahan darah dan kerosakan negeri. Sebagai jalan damai, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan konflik melalui satu pertandingan yaini Adu kerbau (laga kerbau).
Pihak Majapahit tampil yakin dengan kerbau besar, kuat, dan menakutkan. Sebaliknya, orang Pagaruyung hanya membawa seekor anak kerbau yang kelihatan kecil dan lemah. Ramai menyangka Pagaruyung akan kalah sebelum pertandingan bermula.
Namun, di situlah terserlah kebijaksanaan orang Minangkabau. Anak kerbau itu dibiarkan lapar dan dipasang benda tajam kecil di tanduknya. Apabila pertandingan bermula, si anak kerbau menyangka kerbau besar itu ibunya, lalu terus menyerbu ke bahagian perut untuk menyusu. Serangan tidak dijangka itu menyebabkan kerbau besar cedera dan akhirnya kalah. Kemenangan ini dikenang sebagai menang kerbau. Dari situlah lahir sebutan Minangkabau, yang kekal hingga ke hari ini.
Kisah ini bukan sekadar legenda, tetapi melambangkan nilai penting masyarakat Minangkabau, bagaimana kebijaksanaan mengatasi kekuatan, musyawarah lebih utama daripada peperangan. Sebab itulah kerbau menjadi simbol utama dalam budaya Minangkabau, termasuk pada bentuk bumbung Rumah Gadang yang menyerupai tanduk kerbau.
Baca juga : https://www.bmw2002tour.com/category/sejarah-minangkabau/
WE GUIDE YOU TO BEAUTY
Penulis : Bunga Syukria



